Awesome Didie :)

My photo
Putrajaya, Wilayah Persekutuan, Malaysia
Nice name for me. Always single. Amazing 5 of March. Novels lover ;)

Tuesday, May 31, 2011

Wuduk Yang Sempurna!!

Alhamdulillah...Allah masih memanjangkan umur hambaNya ini untuk memeriahkan lagi blog kepunyaan Cahaya PetunjukNya ini. Kini saya kembali pula dengan sebuah 'post' yang bertajuk Cara-cara Berwuduk dengan Khusyuk. Sehingga kini masih terlalu ramai diantara kita mengambil wuduk dengan cara yang salah, tidak mengikut tertib, tergopoh-gapah serta bermacam lagi. Tahukah anda bahawa mengambil wuduk dengan sempurna ini boleh menjadikan kita semakin dekat dengan Tuhan Yang Maha Esa malah makin bertambah pula pahala kita. Cara-cara mengabil wuduk dengan khusyuk ini tidaklah susah malah hanya 'senang seperti kacang' bak kata orang-orang. Mari saya tunjukkan cara-cara mengambil wuduk dengan sempurna...

Mula-mula sekali dalam wuduk, semestinya semua orang Islam tahu bahawa yang pertama ialah membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan seperti berikut...



Ketika sedang membasuh tangan ini sebanyak tiga kali, anda boleh memohon kepada Allah dengan berdoa,
'Ya Allah, berkatilah hambaMu ini'...

Selesai sudah membasuh tangan, kemudian diteruskan pula dengan berkumur-kumur sebanyak tiga kali...



Ketika kumuran pertama, anda bolehlah berdoa kepada Allah dengan memohon
'Ya Allah, permudahkanlah aku untuk berzikir'
Pada kumuran yang kedua,
'Ya Allah, permudahkanlah untuk aku membaca Al-Quran'
Dan pada kumuran ketiga,
'Ya Allah, permudahkanlah aku untuk mengucap sebelum aku meninggal dunia'...

Seterusnya, selepas berkumur ialah masukkan air ke dalam hidung sebanyak tiga kali,


Ketika masukkan air ke dalam hidung anda boleh memohon kepada Allah,
'Ya Allah, berikanlah aku bauan syurga'
Dan ketika mengeluarkan air daripada hidung berdoalah,
'Ya Allah, hindarilah aku daripada bauan api neraka'...

Selesai membasuh hidung, diteruskan pula dengan membasuh muka. Anda semua disedia maklum bahawa ketika membasuh muka perlu disertaikan dengan niat pada basuhan muka yang pertama.
 Cara berniat ialah ketika menadah tangan dikehendaki membaca lafaznya dan ketika membasuh muka hendaklah berniat di dalam hati tanpa bersuara.


Pada basuhan kedua atau ketiga, anda bolehlah memohon kepada Allah
'Ya Allah, kau berikanlah cahaya kepada wajahku pada akhirat kelak'...

Selepas membasuh muka, diteruskan pula dengan membasuh kedua belah tangan hingga ke siku sebanyak tiga kali. Dimulakan dengan membasuh tangan kanan kemudian barulah tangan kiri.


Ketika membasuh tangan sebelah kanan, berdoalah kepada Allah,
'Ya Allah, kau berikanlah buku catatan amalku di tangan sebelah kanan ini'
Ketika membasuh tangan kiri,
'Ya Allah, kau hindarilah aku daripada menerima buku catatan amalku di tangan sebelah kiri ini'...

Kemudian diteruskan dengan membasuh sebahagian depan kepala sebanyak tiga kali juga.


Pada basuhan pertama memohon kepada Allah,
'Ya Allah, kau berikanlah aku perlindungan naungan ArashyMu'
Basuhan kedua,
'Ya Allah, jauhikanlah aku daripada sentuhan api neraka'
Dan basuhan ketiga,
'Ya Allah, berkatilah hidupku'...

Kemudian disusuli dengan membasuh kedua belah cuping telinga sebanyak tiga kali juga.
Membasuh telinga mestilah selari dengan membasuh telinga kanan dan kiri.


Pada basuhan pertama mohonlah kepada Allah,
'Ya Allah, berikanlah aku pendengaran yang baik'
Pada basuhan kedua,
'Ya Allah, perdengarkanlah aku benda yang baik'
Pada basuhan ketiga,
'Mudah-mudahan aku mengikuti perkara-perkara baik yang telah aku dengari'

Seterusnya, membasuh leher. Pasti ramai tertanya-tanya 'adakah membasuh leher dalam wuduk?'
Jawapannya ada tetapi sunat sahaja dalam wuduk tidak wajib. Leher juga dibasuh tiga kali.


Ketika membasuh leher, boleh berdoa kepada Allah,
'Ya Allah, hindarilah diriku daripada memakai rantai besi yang datangnya daripada nerakaMu'

Akhir sekali, basuh kedua-dua belah kaki kanan dan kiri sebanyak tiga kali.
Membasuh kaki hendaklah diratakan air dicelah-celah jari sehingga ke buku lali.


Ketika membasuh kaki kanan, berdoalah kepada Allah,
'Ya Allah, izinkanlah hambaMu ini untuk melintasi titian siratMu dengan sepantas-pantasnya'
Ketika membasuh kaki kiri, mohonlah,
'Ya Allah, hindarilah aku daripada jatuh ke dalam lubuk api nerakaMu'...

Setelah selesai mengambil wuduk, maka secara automatiknya terjadinya Tertib.
Lebih afdalnya selepas mengambil wuduk bacalah doa selepas berwuduk,


Alhamdulillah, selesai sudah wuduk kita dengan sempurnanya. Moga-moga dengan wuduk kita yang sempurna ini solat kita juga boleh menjadi sempurna melalui keberkatan wuduk kita yang khusyuk.
InsyaAllah, mudah-mudahan anda semua boleh mengamalkan wuduk yang khusyuk setiap kali mahu mengambil wuduk. 
InsyaAllah...
Akhir kalam dari saya...


Sekian,
Wabillah wataufiq walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...
=)