Awesome Didie :)

My photo
Putrajaya, Wilayah Persekutuan, Malaysia
Nice name for me. Always single. Amazing 5 of March. Novels lover ;)

Thursday, June 2, 2011

Holiday At Langkawi Island...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, Allah SWT masih memanjangkan umur hambaNya ini bagi meneruskan kehidupan di dunia ini sebagai seorang kafilah di muka bumi ini. Pada 'post' kali ini saya mahu menceritakan serba sedikit pengalaman ke Pulau Langkawi yang terletak di Kedah Darul Aman. Emm, Pulau Langkawi? Siapa tahu tempat ini macam mana? Semestinya semua orang tahu. Pulau ini bebas cukai sebab itu barangan di sini murah dan berpatutan kerana para perniaga tidak perlu membayar cukai-cukai yang biasanya perlu dibayar di mana-mana tempat untuk berniaga. Haa, di Langkawi ini barang yang paling terkenal di jual di sini ialah pingan mangkuk, perabut-perabut dan semestinya COKLAT!!! Cakap pasal coklat ni mesti ramai teruja. Siapa yang tak minat coklat yang berduyun-duyun dijual di merata-rata tempat di Pulau Lagenda Mahsuri ini...




Langkawi dikenali sebagai Permata Kedah. Kenapa? Tak tahulah. Saya pun tak berapa pasti. Nak tahu tanyalah orang yang berasal dari Pulau Permata ini. Kami bertolak dari Putrajaya pada pukul 10 malam dengan menaiki bas 'Double Decker' yang ditempah khas oleh pejabat Daddy dan singgah sebentar di sebuah masjid bagi menunaikan solat Subuh kemudian meneruskan perjalanan hingga ke jeti di Kuala Perlis untuk menaiki feri... 




Inilah ferinya. Cantikkan? Hehehe... Biasa-biasa saja. Sewaktu dalam feri ni kami menonton sebuah filem Kung Fu Cina (tak pasti tajuknya) yang agak best tapi tidak sampai habis sebab feri dah sampai 'Jetty Point' dulu. Ada juga orang yang tertidur dalam feri mungkin sebab kepenatan dalam bas dan ada juga yang ambil gambar melihat pulau-pulau yang dikelililngi laut ketika dalam perjalanan. Perjalanan dalam feri tak lah lama sangat lebih kurang 1 jam lebih.

Sesudah kami tiba di jeti tersebut, kami meneruskan aktiviti dengan bersarapan pagi di Warung Tok Mat. Makanan di sana biasa-biasa saja yang berupakan sarapan pagi. Nasi goreng, mi goreng, roti canai, roti bakar, buah-buahan,  jus oren dan jus mangga serba sedikit menu pada pagi itu. Saya memilih untuk bersarapan nasi goreng, roti bakar, sedikit buah-buahan dan jus oren...




Alhamdulillah, sesudah mengenyangkan perut aktiviti diteruskan lagi dengan melawat Pantai Pasir Hitam di mana pantainya berwarna hitam sepanjang 200 meter serta berdekatan dengan Siam yang mengambil masa 45 minit dari pantai tersebut. Selepas itu kami pergi ke Taman Agro atau dikenali sebagai MARDI. Tempat ni terkenal dengan pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan contohnya seperti buah apricot, buah limau bali dan sebagainya. Dalam taman ini disediakan pengangkutan khas iaitu lori penumpang yang muatannya tidak melebihi 16 orang...




Selesai melawat MARDI barulah kami boleh 'Check In' di hotel yang telah menjadi pilihan iaitu Sheraton Resort. Sampai-sampai saja di hotel ni terus paluan kompang dibunyikan ibarat raja sehari masuk bersanding. Hehehe... Ketika masuk melalui pintu utama pekerja-pekerja hotel tersebut memberi kami sehelai kain basah untuk mengelap muka dan secawan jus limau yang teramat masam. Kain basah tu sejuk sangat ibarat kena rendam dalam air suhunya -0 darjah Celcius. Ingatkan kain tu boleh bawa balik rupa-rupanya kena pulangkan balik. Buat saspen je. Perjalanan hendak ke bilik hotel ni kena naik pengangkutan lori seperti yang berada di MARDI sebab jalannya berbukit-bukau. Kalau jalan kaki tu alamatnya hari raya ketiga nantilah baru sampai...




Selepas 'Check In' para pekerja Perbadanan Putrajaya perlu menghadiri seminar pada petang itu tetapi ahli-ahli keluarga mereka yang lain termasuk saya pergi membeli-belah di Idaman Suri di mana menjadi tempat kegilaan para ibu sekalian. Apa lagi Mummy pun belanja sakan lah. Tapi lagi sakan seorang ibu yang beranak seorang ni, isteri kepada kawan Daddy. Pinggan mangkuk dia beratnya lah. Ibunya belanja sakan, anaknya saya meng'offer'kan diri untuk mengendongnya. Yalah, kesian melihat ibunya mahu berbelanja sakan pinggan mangkuk dan coklat yang ada di situ. Sesudah berbelanja kami pulang ke hotel semula untuk makan malam di sana. Selesai sudah aktiviti pada hari pertama di Pulau Langkawi ini.

Pada hari kedua pula, selepas bersarapan pagi di hotel yang makanannya pelbagai jenis aneka makanan. 'Macam-macam ada'... Kami meneruskan perjalanan ke Sungai Kilim Geoforest Park dengan menaiki sebuah bot.




Tempat pertama yang dikunjungi dengan menaiki bot tesebut ialah Gua Kelawar. Di Gua Kelawar ni diduduki oleh beratus-ratus ekor kelawar yang tidur di siang hari dan berjaga di malam hari. Kelawar ini sensetif dengan bunyi 'Sshhh' sebab apabila mereka dengar bunyi itu secara automatiknya mereka akan lari terbang keluar kerana bunyi itu suatu petanda bahawa musuh mendekati mereka...



Bergayut-gayut...zzzzzzz


Selepas Gua Kelawar, kami dibawa pula ke pulau sebagai mercu tanda yang tertulis 'Kilim Geoforest  Park' dan diatas batu tersebut mempunyai bentuk seperti penyu ataupun kura-kura (tak berapa pasti). Berhampiran pulau tersebut terdapat lagi satu pulau yang bernama Pulau Kasut sebab pulau tu berbentuk seperti kasut. Adalah juga bentuk-bentuk kasut bertali. Tak tahu ada apa di Pulau Kasut tu...



Di atasnya berbentuk seperti penyu ataupun kura-kura


Selepas itu, pergi pula ke Gua Buaya. Di dalam gua tu terdapat seekor buaya yang sangat besar pada tahun-tahun sebelum ini dan pada tahun 2008 seorang pemburu telah berjaya menembak mati seekor buaya yang sangat besar. Lebih baik dia mati dulu, sebelum kita yang mati. Huh!!!...




Kemudian dibawa pula ke Pulau Helang. Emm, tak pasti lah nama pulau tu apa tapi itu tempat di mana helang-helang berkumpul untuk diberi makanan dan juga tempat tidur mereka. Cara-cara untuk panggil helang-helang tersebut adalah dengan membunyikan 'Broooottt' dengan menggunakan bot. Hehehe... tak tahu la sebab abang bot tu yang kata macam tu...



Helang-helang yang besar-besar


Okey, Lunch Time!!! Makan tengah hari kami pula terletak di kawasan tengah-tengah laut. Tak tahu nama restorannya apa. Tapi itulah satu-satunya restoran yang ada di situ. Kami di sajikan dengan pelbagai jenis makanan laut seperti sotong dan udang masak tepung, ikan masak masam masam manis dan banyak lagi. Sebelum makan, kami menjenguk pelbagai jenis ikan yang terdapat di sebelah restoran itu. Macam-macam ikan ada contohnya ikan pari yang besar dan sangat comel mulutnya, ikan haruan yang teramat besar, ikan 'Nyoknyok' iaitu ikan yang pemalas sebab ikan ni kalau diberi makan barulah nak buka mulut tapi kalau tak diberi tak terngangalah mulutnya...

Alhamdulillah, kenyang lagi sekali perut ini. Selepas itu, kami melawat pula ke Art Gallery Tun Dr Mahathir yang menempatkan pelbagai koleksi hak milik Tun Dr Mahathir dan isteri beliau Dr Siti Hasmah. Pelbagai jenis peragaan di peragakan di dalam galeri tersebut. Pakaian, tembikar, plak, potret, kereta-kereta lama dan sebagainya diperagakan...



Art Gallery Of Tun Dr Mahathir Mohamad

Selesai sudah melawat galeri, kami kembali ke dalam bas untuk meneruskan perjalan iaitu ke Makam Mahsuri pula selepas ini. Dengan melawat tempat ini saya dapat mengetahui lebih mendalam tentang Mahsuri yang dikenali sebagai seorang gadis yang begitu cantik di pulau ini dulu tetapi sayang dia telah dikhianati dan dijatuhi hukuman bunuh lalu mengalirlah darah putih daripada tubuhnya...

Lagenda Mahsuri

Selepas itu pula, kami meneruskan 'journey' kami yang terakhir pada hari kedua di sini dengan melawat Underwater World. Best sangat di sini. Macam-macam jenis binatang ada. Ada penguin, ular, ikan yu, ikan pari, ubur-ubur, udang galah, belut dan banyak lagi. Semua comel-comel. Indahnya ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya...


Pejam celik pejam celik dah hari terakhir di Langkawi. Last day di sini kami pergi melawat ke mana yek... Emm, sebentar-sebentar... Sedang berfikir... Okey, dapat dah. Hari terakhir ni kami pergi ke Jalan Dayang Bunting untuk membeli-belah barang-barang terutamanya coklat. Kami tidak ke bandar Kuah sebab kesuntukan masa untuk mengejar feri pada jam 2 petang nanti. Jadi ke sini pun sudah cukup.

Selepas membeli belah, kami meneruskan aktiviti kami yang terakhir iaitu makan tengah hari di Restoran Thai. Tak tahulah nama restorannya apa tapi makanannya memang spesis makanan orang Thai. Semua ada. Ayam, ikan, udang, sotong dan semestinya tom yam hidangan utama.

Alhamdulillah, selesai makan tengah hari maka secara autometiknya tamatlah ekspidisi kami di Pulau Langkawi Permata Kedah ini. Trip kali ini kali ketiga saya dan keluarga pergi. Tapi trip kali kedua dan ketiga inilah yang terbaik diantara yang terbaik.

Subhanallah... Alhamdulillah... Lailahaillallah... Allahuakbar...
Indah sungguh ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Kita sebagai hambaNya perlu bersyukur di atas kenikmatan yang diberikan. Bukan semua orang dapat merasakan kenikmatan ini. Alhamdulillah lagi sekali, syukur terhadapNya.

Akhir kata, setakat ini saja daripada saya untuk 'post' kali ini. Saya memohon maaf kepada kalian yang membaca 'post' ini sekiranya ada terkasar bahasa serta ayat yang menyakitkan hati. Yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada saya sendiri. Sekiranaya ada waktu yang senggang, insyaAllah saya menaip lagi.
Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah...
Wassalamualaikum...
:)

Salam sayang daripada,
Allah's Light Guidance...